Saturday, February 12, 2011

" Wahai Muslimin dan Muslimat, Tutuplah Aibmu"

Mutakhir ini, ramai orang terutamanya dalam kelangan remaja tanpa segan silu meletakkan gambar yang tidak senonoh dalam 'Facebook'. Laman sosial ini telah menjadi kegilaan ramai kerana pelbagai aplikasi yang menarik terdapat didalamnya. Hingga lupa, hingga terleka ataupun tidak megetahui perbuatan yang dilakukan salah di sisi syarak. Tok sah kata gambar yang seksi-seksi, bahkan yang lebih teruk dari tu. Gambar cium pipi pun ada. Dedah sana, dedah sini. Sudah menjadi seperti perkara biasa ' bertelanjang' di 'Facebook', seolah-olah tidak ada apa yang perlu dimalukan.

Maksud Firman Allah:
" Katakanlah kepada wanita yang beriman: 'Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasaannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.' "

Surah An-Nuur, ayat 31.

Sudah terang lagi bersuluh perintah Allah dalam Surah An-Nuur. Allah memerintahkan wanita muslim untuk memelihara perhiasan diri supaya tidak menjadi orang-orang yang rugi.

Fitrah seseorang manusia inginkan perkara yang baik. Seseorang manusia tidak menyukai dirinya disakiti, diperbodohkan, diejek, dianianya dan sebagainya. Itulah fitrahnya yang inginkan kebaikan pada diri.

Begitu juga dengan seorang lelaki, fitrahnya sudah tentu ingin mencari calon isteri yang baik untuk berkongsi hidup. Ingin mereka mencari seorang yang memelihara kehormatan diri.

Adapun perempuan yang 'bertelanjang' hanya menjadi tempat lelaki memenuhi nafsu serakah dan manjadi hobi untuk menyebarkan kepada rakan-rakan.

Tidakkah malu wahai muslimah, membenarkan setiap inci susuk tubuh dipertontonkan kepada kaum adam. Adakah sudah hilang rasa malu itu?
Wahai muslimah, tutuplah aibmu, dosamu dan perbuatanmu dengan pacarmu yang tanpa segan silu berpelukan disana-sini.

Sedangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa , menutup aib seseorang muslim, Allah menutup aibnya di hari kiamat."

Muslim itu tidaklah terbatas kepada Muslim yang lain, tetapi termasuklah dirinya sendiri.

Adapun meletakkan gambar yang 'bertelanjang' dan berkelakuan yang tidak senonoh dengan pasangan masing-masing sama seperti membuka aibnya sendiri.

Tidakkah kamu takut wahai muslimah, perbuatan kamu itu dipertotonkan atau dibuka aib kamu oleh Allah di akhirat nanti.

Tidakkah kamu takut dan malu dengan Allah S.W.T.

Maksud Firman Allah, Surah Ali Imran ,133:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,"

Bersegeralah bertaubat sebelum terlambat, sebelum nyawa sampai ke halkum.

Allah Maha Pengampun...



Sunday, February 6, 2011

Macam-macam...

Cuaca panas terik. Hangatnya cukup terasa. Ada yang senang dengan keadaan ini dan ada pula yang tidak senang hati bahkan merungut berkeadaan sedemikian. Ada yang menguntungkan dan ada yang merugikan. Itulah sifat manusia yang kurang mengerti apa itu erti syukur yang sebenarnya. Sebenarnya, setiap kurniaan Allah sentiasa menguntungkan. Betul tak?..Betul...Sesetengah orang, apabila hujan dimintanya panas. Kelak cuaca panas berkunjung tiba, tidak sabar menantikan hujan pula. Semua tak kena padanya. Padahal Allah buat semua itu ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Jangan merungut dengan takdir Allah. Lalui dengan sabar.

Haus....

Aku hanya menunnggang motorsikal berulang-alik dari kolej ke kampus. Ramai dari kalangan sahabatku yang menaiki kereta, kadang-kadang timbul juga rasa cemburu terhadap mereka. Namun aku tetap bersyukur kerana mempunyai motorsikal kerana masih ada taman-temanku yang lain terpaksa berebut menaiki bas untuk ke kampus dan pulang dari kampus. Kolejku di luar kampus.UiTMPP cukup unik, inilah satu-satunya kampus UiTM yang mempunyai kolej diluar.

Pulang dari kampus singgah sebentar di gerai menjual air soya sebelah masjid Jalan Baru. Tak tertahan, sangat haus. Terfikir sejenak saudara-saudara yang lain yang diuji hebat oleh Allah. Bekalan air tidak mencukupi, ada pula yang terpaksa memakan rumput untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apakah masih tidak mahu bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan pada kita?

" Nak...makanlah nasi kat atas meja tu ye, nanti bila dah sejuk tak sedap," Pesan mak pada anak.

" Ah...tak nak la, sejuk ke panas ke tetap sama.Tetap tak sedap. Mak ni dah tak ada menu lain ke nak masak? ha? Asyik lauk sama je, dah la tak sedap. Tak de selera orang nk makan tau tak. Pergi kedai lagi bagus," Jawab seorang anak yang derhaka.

Apa perasaan maknya pada ketika itu? Melompat kegembiraan ke?

Itulah salah satu ciri-ciri orang yang tak reti bersyukur. Derhaka kat mak lagi. Sedangkan syurga dibawah telapak kaki ibu.

Makan kat kedai lagi bagus?

Sama sekali tidak, air tangan mak yang masak lagi bagus. Ada berkatnya. Kat kedai ntah siapa yang masak. Kena air tangan orang yang tak solat macam mana? Fikir-fikirkanlah...

Tadi kat gerai air soya kan. Singgah sat. Haus...ni kedai mamak. Pelanggan memang ramai. Ada seorang pembantu melayu, perempuan. Sebab tu aku yakin nak beli air kat situ. Tambahan pula penjual tu berkopiah. Sebelah masjid pulak tu. Menambahkan lagi keyakinanku.

" Air soya satu," Pintaku.

" Ikat tepi ke ikat semua?" Tanyanya inginkan kepastian.

Mahu saja aku kata. ' Ikat satu je lah, ikat semua nk buat apa banyak-banyak, sape nak minum'...hehe

Tapi aku cuma bermonolog je la, tak berani pun kata macam tu.

Ikat tepi tu maknanya ikat separuh plastik je la, senang nk minum terus. Kalau ikat semua maknanya bungkus terus la air tu. Balik minum kat rumah.

Begitulah ceritanya.

ada nak bankang? Silakan.,.=p

Procrastination....

PROCRASTINATION…

Procrastination??

Ape tu?

Ok OK…itu dalam bahasa inggeris, In Malay maksudnya kelambatan, penangguhan dan seumpamanya.

Suka menangguh-nangguhkan kerja, melambat-lambatkan dan sebagainya.

Penyakit ini dijangkiti oleh sekian ramai orang. Dalam pelbagai peringkat usia. Faham betul-betul, bukan semua orang yang mengamalkan budaya ni. Saya tak mahu menfitnah. Tetapi sesetengah orang sahaja. Mungkin boleh dikatakan sebilangan besar yang suka menangguhkan kerja dan kesannya sangat terkesan kepada individu terbabit atau kepada sesebuah organisasi.

‘Procrastination’, boleh menyebabkan kerugian dalam sesebuah perniagaan contohnya, kemunduran pada Agama, gagal dalam peperiksaan, dimarahi mak ayah, dibenci orang, menimbulkan fitnah, berlaku perpecahan, caci-mencaci, hilang keyakinan diri, kehilangan sahabat dan banyak lagi. Boleh difikir sendiri kesannya lebih-lebih lagi yang mempunyai pengalaman seperti itu.

Sudah menjadi amalan rasanya perbuatan tersebut. Sudah menjadi kebiasaan. Menganggapnya perkara biasa bagi yang sudah terbiasa. Walaupun pernah gagal kerananya,tetapi masih tidak cukup kukuh untuk mengubatinya. Kerana apa? Kerana sudah terbiasa. Itulah masalahnya. Ditambah pula dengan hasutan syaitan.

Kerananya, produk yang dihasilkan tidak berkualiti. Contohnya sebagai seorang pelajar, buat tugasan pada saat-saat akhir, kecacatan pada tugasan tersebut bakal menyusul kemudiannya. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa, gagal meletakkan akal pada tempat yang sepatutnya ketika melaksanakannya kerana menghadapi tekanan yang mendadak. Natijahnya, hasil kerja yang dilakukan kurang berkualiti berbanding dengan orang yang ada waktu yang cukup untuk melakukan tugasan yang sama. Secara langsung bakal memberi kesan kepada keputusan peperiksaan dan seterusnya dipandang rendah oleh pensyarah waimah sahabat handai.

Orang yang bijak menggunakan masa dengan sebaiknya. Setiap ruang waktu diisi dengan perkara yang mendatangkan faedah. Berpadanan dengan pepatah arab, ‘masa itu umpama pedang, kalau kita tidak memancungnya maka masa akan memancung kita’. Betapa peri pentingnya menjaga waktu. Orang yang benar-benar memahami nilai waktu tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan waktu yang ada berlalu secara percuma. Masa yang lalu, hari yang berlalu, setiap jam yang berlalu, setiap minit yang berlalu, setiap saat yang berlalu, setiap detik yang berlalu sesungguhnya tidak akan berulang lagi. Yang lepas dah jadi sejarah dalam hidup kita. Sama ada baik ataupun buruk terpulang kepada pemandunya.

Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w. memegang dua bahuku seraya bersabda:

Maksudnya: “ Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar r.a berkata, “Apabila kamu berada pada waktu petang maka jangan kamu tunggu waktu pagi, dan apabila kamu berada pada waktu pagi maka janganlah kamu tunggu waktu petang. Ambillah daripada kesihatanmu untuk sakitmu dan daripada kehidupanmu untuk matimu.”

Sudah terang lagi bersuluh, betapa menghormati waktu amat dituntut. Suka menangguh-nangguhkan kerja merupakan ciri-ciri orang yang membuang waktu. Ayuh gunakan masa yang ada dengan sebaiknya. Wallahu’alam…