Sunday, February 6, 2011

Procrastination....

PROCRASTINATION…

Procrastination??

Ape tu?

Ok OK…itu dalam bahasa inggeris, In Malay maksudnya kelambatan, penangguhan dan seumpamanya.

Suka menangguh-nangguhkan kerja, melambat-lambatkan dan sebagainya.

Penyakit ini dijangkiti oleh sekian ramai orang. Dalam pelbagai peringkat usia. Faham betul-betul, bukan semua orang yang mengamalkan budaya ni. Saya tak mahu menfitnah. Tetapi sesetengah orang sahaja. Mungkin boleh dikatakan sebilangan besar yang suka menangguhkan kerja dan kesannya sangat terkesan kepada individu terbabit atau kepada sesebuah organisasi.

‘Procrastination’, boleh menyebabkan kerugian dalam sesebuah perniagaan contohnya, kemunduran pada Agama, gagal dalam peperiksaan, dimarahi mak ayah, dibenci orang, menimbulkan fitnah, berlaku perpecahan, caci-mencaci, hilang keyakinan diri, kehilangan sahabat dan banyak lagi. Boleh difikir sendiri kesannya lebih-lebih lagi yang mempunyai pengalaman seperti itu.

Sudah menjadi amalan rasanya perbuatan tersebut. Sudah menjadi kebiasaan. Menganggapnya perkara biasa bagi yang sudah terbiasa. Walaupun pernah gagal kerananya,tetapi masih tidak cukup kukuh untuk mengubatinya. Kerana apa? Kerana sudah terbiasa. Itulah masalahnya. Ditambah pula dengan hasutan syaitan.

Kerananya, produk yang dihasilkan tidak berkualiti. Contohnya sebagai seorang pelajar, buat tugasan pada saat-saat akhir, kecacatan pada tugasan tersebut bakal menyusul kemudiannya. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa, gagal meletakkan akal pada tempat yang sepatutnya ketika melaksanakannya kerana menghadapi tekanan yang mendadak. Natijahnya, hasil kerja yang dilakukan kurang berkualiti berbanding dengan orang yang ada waktu yang cukup untuk melakukan tugasan yang sama. Secara langsung bakal memberi kesan kepada keputusan peperiksaan dan seterusnya dipandang rendah oleh pensyarah waimah sahabat handai.

Orang yang bijak menggunakan masa dengan sebaiknya. Setiap ruang waktu diisi dengan perkara yang mendatangkan faedah. Berpadanan dengan pepatah arab, ‘masa itu umpama pedang, kalau kita tidak memancungnya maka masa akan memancung kita’. Betapa peri pentingnya menjaga waktu. Orang yang benar-benar memahami nilai waktu tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan waktu yang ada berlalu secara percuma. Masa yang lalu, hari yang berlalu, setiap jam yang berlalu, setiap minit yang berlalu, setiap saat yang berlalu, setiap detik yang berlalu sesungguhnya tidak akan berulang lagi. Yang lepas dah jadi sejarah dalam hidup kita. Sama ada baik ataupun buruk terpulang kepada pemandunya.

Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w. memegang dua bahuku seraya bersabda:

Maksudnya: “ Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar r.a berkata, “Apabila kamu berada pada waktu petang maka jangan kamu tunggu waktu pagi, dan apabila kamu berada pada waktu pagi maka janganlah kamu tunggu waktu petang. Ambillah daripada kesihatanmu untuk sakitmu dan daripada kehidupanmu untuk matimu.”

Sudah terang lagi bersuluh, betapa menghormati waktu amat dituntut. Suka menangguh-nangguhkan kerja merupakan ciri-ciri orang yang membuang waktu. Ayuh gunakan masa yang ada dengan sebaiknya. Wallahu’alam…

No comments:

Post a Comment